Marilah kita memperkasakan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan mengerjakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan, kita mendapat keberkatan dan keredhaan-Nya, di dunia mahu pun di akhirat.
Pada hari ini, mimbar akan membicarakan khutbah yang bertajuk: "Kecelakaan Riba' dan kesannya dalam kehidupan".
Ayat ke 130 dalam surah Ali ‘Imran yang dibacakan pada Awal khutbah tadi membawa maksud:
"Wahai orang-orang yang beriman!, janganlah kamu makan atau mengambil riba' dengan berlipat-lipat ganda dan hendaklah kamu bertakwa kepada Allah supaya kamu berjaya" .
Takrif riba' secara istilah bermaksud: "Penambahan nilai ke atas sesuatu pinjaman yang disyaratkan oIeh pemberi pinjaman atau dijanjikan oIeh penerima pinjaman. Manakala dalam pertukaran sesetengah barangan dan mata wang, ia bermaksud perbezaan nilai akibat kuantiti yang berbeza atau pun perbezaan waktu pertukaran.
Riba' bukan sahaja dilarang dalam Islam, tetapi juga telah diharamkan di dalam agama-agama Samawi yang lain. Islam amat tegas menegah amalan riba'. Islam memandang riba' sebagai amalan yang keji dan tergolong sebagai salah satu dosa besar. Islam menolak segala bentuk amalan riba'. Justeru, Allah Subhanahu Wata'ala telah memberi peringatan kepada orang yang beriman, supaya menjauhi amalan riba' dan seterusnya mengisytiharkan perang kepada pemakan riba'.
Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Baqarah itu 278 - 279 yang berbunyi:
"Wahai orang-orang yang beriman!, hendaklah kamu bertakwa kepada Allah dan menjauhi saki-baki riba' (yang masih ada pada orang yang berhutang )itu, jika benar kamu orang-orang yang beriman. Jika kamu tidak mahu melakukan (perintah mengenai larangan riba' itu), maka ketahuilah bahawa Allah dan Rasul-Nya akan memerangi kamu (akibatnya kamu tidak akan selamat)".
"Dan jika kamu bertaubat (menghentikannya), maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah modal pokok harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak menganiaya (kepada sesiapa) dan kamu juga tidak teraniaya" .
Jika kita mengamati setiap Firman Allah yang terkandung dalam Al-Quran, kita akan dapati bahawa Allah Subhanahu Wata'ala tidak pernah mengisytiharkan perang kepada seseorang melainkan hanya kepada pemakan-pemakan riba'. Cukuplah ayat tersebut menjadi bukti bahawa betapa dahsyatnya dosa riba' di sisi Allah Subhanahu Wata'ala.
Rasulullah s.a.w. dengan tegaskan, mengeji amalan berunsurkan riba'.
Sebuah hadith daripada Saiyidina Jabir Radhiallahu ‘Anhu yang bermaksud:
"Rasulullah s.a.w. melaknat pemakan riba', wakilnya, penulisnya, dua orang saksinya. Rasulullah s.a.w. bersabda: "Kesemua mereka itu sama sahaja" (Riwayat Muslim) .
Rasulullah s.a.w. dengan kerasnya mencela orang yang terlibat dengan amalan riba'. Mereka adalah golongan yang menekan dan menindas para peminjam. Rasulullah s.a.w. telah menerangkan betapa buruknya kegiatan riba' tersebut.
Sesetengah orang menyangka, bahawa harta yang haram itu adalah hasil daripada kerja mencuri atau merompak sahaja. Mereka lupa bahawa harta yang dihasilkan daripada riba' juga adalah haram. Lebih dahsyat lagi, apabila orang yang bergelumang dengan amalan riba' menganggap jual beli dan riba' adalah sama sahaja. Begitu juga, antara amalan "Perbankkan Konvensional" dengan amalan "Perbankkan Islam" mereka menganggap sama sahaja, sedangkan Allah Subhanahu Wata'ala hanya menghalalkan perniagaan, tetapi tidak menghalalkan riba'.
Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Baqarah ayat 275:
"Mereka mengatakan: "Bahawa sesungguhnya berjual beli itu sama sahaja seperti riba', pada hal Allah telah menghalalkan jual beli (berniaga) dan mengharamkan riba' " .
Umat Islam di Malaysia umumnya mengambil berat soal halal dan haram dalam isu pemakanan. Rata-rata umat Islam hari ini prihatin terhadap pemakanan yang dimakannya agar tidak mengandungi elemen-elemen haram yang ditegah oIeh syarak dan menjejaskan keberkatan. Namun satu persoalan yang perlu diberi perhatian ialah apakah penglibatan itu memadai sekadar mengambil berat tentang barangan makanan bertanda halal, tetapi wang yang digunakan untuk membelinya masih lagi bersumberkan perolehan yang haram?.
Sejauh manakah kesedaran persoalan halal dan haram ini turut dikaitkan dengan sumber pendapatan yang diperolehi?. Berdasarkan keadaan ini, mereka secara sengaja mengumpul pendapatan dan kekayaan daripada pelbagai aktiviti yang ditegah oIeh syarak seperti memakan riba', menerima rasuah, pecah amanah, memeras-ugut, merompak, melacur, menjadi G.R.O. dan sebagainya.
Mereka juga tidak menitikberatkan ke mana wang mereka dibelanjakan seperti pinjaman perumahan, kereta dan pinjaman peribadi semuanya berkisar di dalam sistem yang berteraskan riba'. Bahkah ada di kalangan mereka yang pergi menunaikan ibadah haji dan ‘umrah menggunakan wang yang diperolehi daripada hasil riba'. Manakala bagi mereka yang terlibat dalam bidang perniagaan pula, selalu menitikberatkan soal halal di dalam perniagaan yang ingin dilakukan, tetapi langsung tidak menghiraukan dari mana sumber modal yang ingin diperolehi sehingga sanggup membuat pinjaman yang berteraskan riba'. Begitu juga ada sebilangan dari mereka yang bersedekah dan mengeluarkan zakat juga menggunakan dari hasil riba' yang mana pada hakikatnya, semua amal ibadah tersebut tidak diterima oIeh Allah Subhanahu Wata'ala.
Orang yang terlibat dengan riba' akan dicabut keberkatan dalam hidupnya. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Baqarah ayat 276 : "Allah riba' (dengan mengurangkan atau melenyapkan keberkatan-Nya) dan menyuburkan sedekah-sedekah (dengan menambah dan mengembangkannya serta melipat-gandakan pahalanya). Allah tidak menyukai setiap orang yang ingkar (yang menghalalkan riba') lagi banyak melakukan dosa".
Bagaimana memperolehi keberkatan dalam hidup, jika kehidupan berbaur dengan amalan riba'?. Apakah kita tidak terfikir, bahawa harta yang diperolehi daripada pendapatan yang haram seperti riba', pasti tidak akan mendatangkan keberkatan?.
Selain itu, jika kita melihat dan merenung sedalam-dalamnya, kepada situasi dunia dan keadaan alam, yang sentiasa dihujani dengan pelbagai musibah dan bencana alam, memberi keyakinan kepada kita, bahawasanya, ini adalah merupakan peringatan Allah Subhanahu Wata'ala. Hukuman kealpaan dan kecuaian kita dalam melaksanakan perintah dan suruhan-Nya serta meninggalkan segala larangan-Nya.
Renunglah sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Apabila riba' dan zina menjadi-jadi di sesebuah kampung (negeri), maka sesungguhnya, mereka telah membenarkan mereka itu diazab oIeh Allah" (Riwayat Hakim dan Abu Ya'la) .
Menurut Syeikh Abdul Aziz, Asy-Syeikh Mufti Besar Arab Saudi menyatakan bahawa krisis kewangan sejagat yang dialami ketika ini, berpunca daripada sikap mengabaikan peraturan Allah dan membenarkan amalan riba' yang diharamkan oIeh Islam. Dalam masa yang sama, masalah ini telah membuka mata masyarakat dunia, kepada potensi sebenar kejayaan Sistem Kewangan Islam yang dilaksanakan di Malaysia, dan beberapa negara Islam lain di seluruh dunia, dalam menangani Kemelesetan Ekonomi.
Kini, adalah masa dan medan terbaik buat negara-negara Islam dan umatnya memperkukuh struktur dan produk Kewangan Islam serta mengetengahkannya kepada dunia sebagai pilihan utama Kaedah Pemulihan Ekonomi Dunia. Pertumbuhan sebanyak 15% setahun Sistem Perbankkan Islam, mencerminkan ia bakal menjadi peneraju Pasaran Kewangan Antarabangsa, dengan ciri-cirinya yang tersendiri, menyaingi Sistem Kewangan Barat. Sistem Kewangan Islam bersifat lebih adil kepada pelabur dan pengusaha, di samping mampu melindungi sistem kewangan itu, daripada krisis kewangan dunia seperti yang berlaku sekarang ini.
Pada hakikatnya, Sistem Kewangan Kapitalis, yang bertunjang dan berkiblatkan Sistem Amalan Riba' sedang menuju kemelesetan dan pendukungnya bakal berdepan dengan gelombang kemuflisan terbesar dalam sejarah. Ianya membuka peluang kepada Sistem Kewangan Islam untuk diterjemahkan kepada masyarakat dunia. Ini kerana Islam sangat mementingkan kesejahteraan umat dan tetap memerangi segala bentuk sistem atau struktur yang berteraskan riba', yang memudharatkan kehidupan manusia.
Mimbar hari ini juga, ingin menarik perhatian para jamaah kepada satu kegiatan dalam Sistem Ekonomi Barat, yang bergerak dalam masyarakat hari ini, iaitu "Ceti Haram". Ceti haram seperti Ah Long adalah agensi yang bergerak secara aktif, menipu dan memperdaya orang ramai dengan tawaran pinjaman, dengan mengenakan bunga yang berganda. Terdapat Ceti Haram yang telah menyalahgunakan Lesen Meminjam Wang dan kadar bayaran yang dikenakan kepada peminjam melebihi 18% setahun. Merujuk kepada Laporan Persatuan Pengguna Islam Malaysia terdapat 1,600 kes Ceti Haram direkodkan, dalam tempoh kurang dari dua tahun, di mana mereka memperolehi pendapatan sebanyak RM 12 juta sehari.
Di negara kita, banyak terdapat Institusi Kewangan yang menjalankan perkhidmatan kewangan secara Islam, bersih daripada unsur-unsur riba' dan unsur-unsur yang dilarang dalam Sistem Mu'amalat Islam. Kerajaan telah menyediakan pilihan kepada umat Islam, untuk menggunakan Perkhidmatan Sistem Kewangan Islam. Para ulama' dan golongan pakar yang telah dilantik dan terlibat secara langsung dalam mengawal perjalanan Perbankkan Islam, supaya selari dengan Prinsip Syariah. Perbankkan Islam di Malaysia, telah berkembang aktif dan meluas. Justeru, umat Islam di Malaysia dengan mudah dapat menggunakan Perkhidmatan Kewangan Islam, sama ada mereka tinggal di sebuah bandaraya yang besar atau pun di sebuah pekan yang terpencil. OIeh itu, tidak ada sebab untuk umat Islam menggunakan Perkhidmatan Pinjaman daripada Institusi Kewangan, yang berteraskan riba'. Apatah lagi dengan Institusi Kewangan di pasaran gelap seperti "Ah Long", yang bukan sahaja mengenakan faedah atau bunga yang tinggi, malah boleh mengancam nyawa mangsa yang tidak mampu melunaskan hutangnya.
Kita bimbang dengan keadaan Kemelesetan Ekonomi Dunia, yang akan menyebabkan keretakan institusi keluarga, meningkatnya jenayah, bertambahnya kes bunuh diri, menjual maruah diri, penindasan, keruntuhan moral dan sebagainya. Justeru, semua pihak diseru agar sentiasa menyediakan perancangan kewangan yang mapan. Melalui perbelanjaan berhemah dan menjauhi budaya berhutang dan riba', bagi mengelakkan kehancuran masa depan individu, masyarakat dan negara.
Mengakhiri khutbah, mimbar ingin menyeru, marilah kita sama-sama berusaha menjadikan Ajaran dan Nilai-nilai Islam sebagai Teras Ekonomi Negara melalui langkah-langkah berikut :-
1. Bersama mendokong Produk Kewangan Islam yang sedang dilaksanakan sekarang, di samping berusaha memartabatkan Sistem Ekonomi Islam.
2. Bersama melemahkan produk-produk Sistem Kewangan Kapitalis yang
bertentangan dengan syariat Islam, khususnya kegiatan Ceti-ceti Haram yang sedang berleluasa di negara kita, dan
3. Meningkatkan kefahaman masyarakat tentang keistimewaan Sistem Ekonomi Islam dan bahaya Sistem Ekonomi Barat.
Jalanilah hidup secara yang dituntut oIeh Islam, iaitu bersederhana dan mengikut kemampuan diri, amalkan budaya rajin berusaha, kerana Allah Subhanahu Wata'ala mengasihi mereka yang bekerja dengan tangan sendiri, dalam mencari rezeki yang halal. Islam tidak menyekat umatnya mencari kesenangan, asalkan ia dengan cara yang diredhai oIeh Allah Subhanahu Wata'ala.
"Apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka) sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka), Aku memperkenankan permohonan orang yang berdoa kepada-Ku. maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka sentiasa berada dalam kebenaran". (Al-Baqarah:186)
Kategori: Mimbar Jumaat
Promosi Dealer Public Gold Februari 2021
3 years ago
2 comments:
Benar. Khutbah Jumaat kena pada masa, waktu dan ketika.
ya, kat Masjid Ulu Klang pun khutbah yang sama
Post a Comment