Huraian Tajuk/Isu:
Membincang dan menimbangkan ASN dan ASB
Keputusan:
Setelah meneliti draf pandangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu mengenai Amanah Sham Nasional dan Amanah Saham Bumiputra, mesyuarat telah membuat beberapa pembetulan adalah sebagaimana dalam lampiran berkembar. Berdasarkan kepada nas-nas daripada fuqaha Islam sebagaimana yang dipetik dan disenaraikan itu dan juga keadaan yang dimalkan oleh Amanah Saham Nasional/ Amanah Saham Bumiputra yang didapati tiada tempat yang nyata haramnya kecuali di dalam institusi kewangan yang dianggapkan ada syubahah di dalam Islam makaJawatnkuasa Fatwa berpendapat melabur di dalam Skim Amanah Saham Nasional/ Amanah Saham Bumiputra adalah tidak haram.
Lampiran
Pandangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu mengenai
Amanah Saham Nasional dan Amanah Saham Bumiputra
*******************************************
1. Pendahuluan
Umum telah mengetahui bahawa negara Malaysia khasnya Semenanjung Tanah Melayu adalah kepunyaan orang-orang Melayu beragama Islam. Merekalah yang mempusakai Semenanjung Tanah Melayu ini dari nenek moyang mereka turun temurun hinggalah datangnya penjajah yang mengubah wajah negara ini. Di samping membuka pintu seluas-luasnya kepada pendatang-pendatang asing sehingga melemahkan dan mengurangkan kekuasaan asal orang-orang Melayu di negara mereka sendiri.
Selepas mencapai kemerdekaan, para pemimpin Melayu telah memikirkan cara-cara yang serius bagaimana hendak mengembalikan semula kedaulatan hak dan ketuanan asal orang-orang Melayu di negara ini.
Keadilan tidak mungkin berada di tempatnya sekiranya tahap pencapaian ekonomi orang-orang Melayu dan tahap ketinggian pendidikan orang-orang Melayu tidak dibela. Keadaan ketidak adilan yang wujud menyebabkan negara menjadi pincang dan canggung buat selama-lamanya. Di samping itu ditakuti pula akan timbul perasaan tidak puashati yang meluap-luap di kalangan orang-orang Melayu yang mana akan membara terus-menerus dan di suatu masa nanti menyebabkan retak membawa belah. Oleh yang demikian berkewajipanlah pemimpin-pemimpin Melayu berusaha dan berikhtiar seberapa daya dan upaya mereka membela dan memenuhi hasrtat pembelaan ekonomi dan pendidikan orang-orang Melayu dengan apa cara dan apa jalan pun termasuklah melalui penubuhan Amanah Saham Nasional dan Amanah Saham Bumiputra.
2. Pengenalan Amanah Saham Nasional dan Amanah Saham Bumiputra
Skim Amanah Saham Nasional (Skim ASN) ialah suatu rancangan kerajaan untuk mencapai salah satu daripada matlamat dasar ekonomi baru, iaitu menyusun semula masyarakat menerusi pemilikan syarikat sekurang-kurangnya 30% daripada sektor ekonomi negara.
Pada awal 1970an, kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan dan perindustrian telah memperuntukan saham-saham kepada orang-orang perseorangan (Bumiputra) sebagai usaha meningkatkan pemilikan Bumiputra di sektor syarikat. Malangnya, sebahagian besar daripada saham-saham ini telah dijual di pasaran terbuka intuk meraih kenaikan modal. Ini sudah tentu menjejaskan matlamat kerajaan.
Untuk menentukan saham-saham ini dipegang oleh masyarakat Bumiputara untuk tempoh yang lebih panjang, satu bentuk pemindahan saham secara tidak langsung atau 'indirect' telah dirancangkan.
Pada awal 1978, kerajaan telah menubuhkan Yayasan Pelabuaran Bumiputra. Yayasan ini diamanahkan dengan tanggungjawab mempercepatkan usaha pemilikan Bumiputra melalui korporat atau syarikat yang kian berkembang.
Untuk tujuan ini, kerjaan telah menubuhkan sebuah syarikat pelaburan yang dimiliki sepenuhnya, iaitu Permodalan Nasional Berhad. Tugas utama Permodalan Nasional Berhad ialah memilih adan membeli saham syarikat-syarikat yangg berpotensi dan mempunyai 'track record' yang positif. Selain daripada itu, Permodalan Nasional Berhad bertindak sebagai gedung saham yang mana sahamnya (dari pelbagai sumber) dipindahkan kepada Skim Amanah Saham Nasional yang menjualkan unit-unitnya kepada masyarakat Bumiputra.
Ini bermakna saham-saham yang dipegang oleh Permodalan Nasional Berhad adalah secara amanah. Saham-saham ini kemudiannya diagihkan kepada Bumiputra menerusi Skim Amanah Saham Nasional. Dengan cara ini sebahagian besar daripada Bumiputra dapat menyertai dan menerima manafaat sebagai pemilik dan pemegang (untuk tempoh yang lebih panjang) oleh Bumiputra.
Skim Amanah Saham Bumiputara pula diwujudkan adalah sebagai satu skim tambahan untuk masyarakat Bumiputra terus menyimpan dan melabur di dalam pelaburan saham amanah demi untuk meningkat dan mengekalkan pegangan ekonomi Bumiputra di sektor syarikat.
Walaupun Skim Amanah Saham Bumiputra mempunyai ciri-ciri dan struktur bentuk yang sama seperti Amanah Saham Nasional yang ada sekarang tetapi terdapat dua perbezaan yang utam. Pertamanya, had pelaburan maksimum yang dibenarkan di dalam Skim Amanah Saham Bumiputra adalah 100,000 unit bagi ekaun dewasa. Kedua, had umur yang layak melabur di dalam Skim Amanah Saham Bumiputra adalah 12 tahun ke atas. Keistimewaan di dalam skim Amanah Saham Bumiputara ini adalah untuk memberi peluang lebih ramai masyarakat Bumiputra melabur di dalam Saham Amanah di samping mendidik budaya menyimpan, terutamanya di kalangan pelajar-pelajar Bumiputra.
Dalam masalah pembelian saham dalam Amanah Saham Nasional dan Saham Bumiputra pihak pengurusan tidak menggalakkan pelabur-pelabur membuat pinjaman memandangkan pelaburan dalam Skim Saham Amanah adalah pelaburan jangka panjang. Oleh itu adalah baik pelaburan dibuat melalui simpanan sendiri.
Selain dari itu pihak pengurusan Amanah Saham Nasional dan Amanah Saham Bumiputra menjelaskan bahawa pihaknya akan terus memastikan pelaburannya tidak terlibat dalam pelaburan perjudian dan minuman keras.
Pihak pengurusan Amanah Saham Nasional dan Amanah Saham Bumiputra juga menjelaskan bahawa dalam konsep pelaburan, atau apa-pa sahaja urusniaga yang berkaitan dengannya, penglibatan bank dan insuran memang tidak dapat dielakkan kerana ia merupakan institusi yang membantu segala urusniaga dan bank memainkan peranan yang besar dalam ekonomi negara.
Pelaburan Amanah Saham Nasonal dan Amanah Saham Bumiputra dipelbagaikan dalam beberapa sektor bagi menentukan portfolio Skim Amanah Saham Nasonal dan Amanah Saham Bumiputra sentiasa kukuh dan memberi pulangan yang memuaskan. Jumlah pelaburan Amanah Saham Nasonal dan Amanah Saham Bumiputra sehingga 31 Desember 1991 mengikut sektor adalah seperti berikut:-
Anamah Saham Nasional
*********************
Sektor Jumlah Kos
($) Jumlah
Perindustrian
Perladangan
Perlombongan
Harta Benda
Kewangan 1,130,345,274
621,416,286
76,850,015
245.921,365
354,193,552 46.54
25.59
3.16
10.13
14.58
JUMLAH 2,428,726,492 100.00
Amanah Saham Bumiputra
**********************
Sektor Jumlah Kos
($) Jumlah
Perindustrian
Perladangan
Perlombongan
Harta Benda
Kewangan 3,531,243,081
2,415,952,076
464,727,028
661,432,704
2,718,474,813 36.06
24.67
4.75
6.76
27.76
JUMLAH 9,791,829,702 100.00
Secara terperinci syarikat-syarikat yang diceburi oleh Amanah Shama Nasional dan Amanah Saham Bumiputra berdasarkan sektor seperti tersebut di atas adalah sebagaimana lampiran berkembar.
Darisegi kenyataan di atas persoalan yang berkaitan ialah bermuamalah dengan bank atau sektor kewangan yang mana sektor kewangan itu ada melibatkan urusan kewangan yang bercampur antara halal dan haram.
3. Pandangan Islam mengenai muamalah kewangan yang bercampur Halal dan Haram :
Islam sentiasa menggesa supaya dipertahankan lima perkara iaitu :
- Memelihara agama
- Memelihara nyawa atau jiwa raga
- Memelihara akal
- Memelihara zuriat keturunan, dan
- Memelihara harta benda
Kerana dengan terdirinya lima perkara ini menjadi tonggak kepada keteguhan kedudukan umat Islam serta kehidupan mereka yang layak sebagi satu umat. Sekiranya terjejas salah satu daripada lima perkara ini maka umat Islam akan ditimpa kehinaan yang akan menjejaskan agama dan kehidupan kaum bangsa mereka khususnya kehidupan di dalam masyarakat majmuk yang mempunyai persaingan yang hebat di Malaysia ini iaitu 'Siapa cepat dia dapat, siapa kuat dia berkuasa'. Umat Islam perlu mempertahankan kehidupan mereka dalam dunai yang penuh dengan persaingan dan kemajuan supaya umat Islam menjadi suatu umat yang kuat dalam ekonomi dan pelajaran.
Para fuqaha telah menjelaskan mengenai hukum-hukum kira bicara (bermuamalah) dalam urusan kewangan yang bercampur halal haram :-
(1) Di dalam Kitab Al-Fatawa Kubra Fiqhiah LiIbnu Hajar Al-Haitami juzuk ketiga muka surat 372 ada menyebut :-
فمعتمد مذهبنا أن معاملة من اكثر امواله حرام مكروهة لا محرمة۔
Maksudnya : Dalam pendapat yang muktamad dari Mazhab kita bahawa berurusan dengan orang yang kebanyakan hartanya haram hukumnya makruh tidaklah haram.
(2) Di dalam Kitab Ihya" Ulumud Din
)احياء علوم الدين للغزالى مع شرح اتحاف السادة المتقين )
Juzuk 6 halaman 41 Matbaah Darul Fikri, Beirut, Imam Al-Gahzali telah menyatakan :-
Maksudnya : Demikian lagi orang yang mengetahui bahawa harta-harta dalam dunia ini telah bercampur aduk dengan benda-benda yang memangnya haram tidaklah memestikannya meninggalkan membeli belah dan memakan makanan, kerana yang demikian itu menjadi kesukaran, padahal tiada dalam agama itu kesukaran. Dari itu diketahui manakala dicuri perisai dan dicuri iba"ah (sejenis baju labuh) oleh salah seorang pada zaman Rasulullah dahulu tidaklah tertegah seseorang itu dari membeli perisai dan iba"ah di dunia ini, begitulah juga keadaannya dengan barang-barang lain yang terdapat di antara barang-barang yang dicuri. Demikian lagi diketahui bahawa terdapat di kalangan manusia itu orang yang berurusan dengan riba dari dirham dan dinar, tetapi Rasulullah dan orang ramai tidak meninggalkan dirham dan dinar sama sekali. Ringkas kata hanya sanya dunia ini akan terhapus dari benda-benda haram jika sekiranya manusia di dalam dunia dijadikannya maksum. Perkara ini mustahil. Jika perkara seperti ini tidak dimestikan di dunia ini seluruhnya tidaklah dimestikan juga pada mana-mana negeri pun kecuali dalam keadaan di mana apa yang berlaku itu begitu terhad di kalangan sekumpulan kecil masyarakat.
(3) Pada halaman 42 kitab yang sama, Al-Imam Al-Ghazali menyatakan :-
Maksudnya : bahagian ketiga, bahawa percampuran benda yang haram tidak diketahui juga jumlahnya dengan yang halal yang tidak diketahui jumlahnya, seumpama hukum harta benda di zaman kiti ini. Hingga katanya : Dan menurut pendapat yang kami melihat iaitu tidaklah haram dengan sebab percampuran ini diambil sesuatu daripadanya yang mungkin ianya haram dan mungkin ianya halal, kecuali didapati bersama harta itu satu tanda yang menunjukan ianya dari harta yang haram. Sekiranya tidak didapati pada harta itu apa-apa tanda yang menunjukan ianya dari harta yang haram, maka meninggalkannya itu dianggap sebagai warak, manakala mengambilnya pula hukumnya halal yang tidak menjadikan penggunanya itu fasik.
Berdasarkan kepada nas-nas daripada fuqaha" Islam sebagaimana yang dipetik dan disenaraikan itu dan juga keadaan sosio ekonomi umat Islam di negara ini serta kaedah pelaburan dan institusi yang diamalkan oleh Amanah Saham Nasional/ Amanah Saham Bumiputra yang didapati tiada tempat yang nyata haramnya kecuali di dalam institusi kewangan yang dianggap ada syubahah di dalam Islam maka Jawatankuasa Fatwa berpendapat melabur di dalam Skim Amanah Saham Nasional / Amanah Saham Bumiputra adalah tidak haram.
Status Penwartaan:
Tidak Diwartakan
Negeri:
* Terengganu
Promosi Dealer Public Gold Februari 2021
3 years ago
0 comments:
Post a Comment