Syarikat ini didakwa merasuah orang tengah bagi memperoleh urus niaga mencetak wang kertas dengan kerajaan negara lain. Lebih teruk lagi, syarikat ini dituduh merasuah Timbalan Gabenor sebuah bank pusat dengan menawarkan pelacur Asia. Malahan, ada laporan menyatakan Gabenor sebuah bank pusat negara Asia juga terlibat dengan gejala rasuah melalui pembayaran komisen dan juga rasuah seks.
Akibat daripada pendedahan ini, Malaysia adalah antara sebahagian negara yang mendesak kerajaan Australia menyiasat skandal rasuah dan penyelewengan syarikat pembekal mata wang ini.
Melihat kepada skandal terbaru ini, bolehlah dikatakan bahawa pada masa kini, mata wang kertas bukan sahaja menjadi medium pertukaran tetapi juga satu mekanisme untuk mengaut keuntungan secara melampau. Asas kewujudan mata wang sebagai medium pertukaran semakin lama semakin dipinggirkan. Buktinya, negara kita pernah diserang oleh spekulator mata wang yang tamak untuk memperoleh keuntungan sekelip mata melalui urus niaga mata wang.
Tidak dapat disangkal lagi, pada masa kini fungsi mata wang diperluaskan lagi sebagai barangan dagangan yang boleh dijual beli. Fungsi inilah menyebabkan segelintir pihak yang sanggup melakukan rasuah hanya semata-mata untuk mendapatkan urus niaga membekal mata wang kertas kepada negara-negara lain.
Nilai mata wang melalui kadar pertukarannya yang sering turun naik dan tidak stabil memberi peluang kepada golongan sebegini untuk mendapat kesenangan dengan mudah. Turun naik kadar pertukaran mata wang jugalah menyebabkan Amerika Syarikat (AS) berharap kadar pertukaran mata wang China, yuan lebih kukuh agar dapat mengurangkan defisit dagangannya dengan China. Manakala, China pula berasa gusar dengan krisis hutang di Eropah yang menyebabkan perdagangan di antara negaranya dengan Eropah semakin terjejas jika mata wang yuan semakin kukuh.
Krisis ini akan menjejaskan permintaan Eropah ke atas barangan negara China dan kesannya akan lebih teruk lagi jika kadar pertukaran yuan semakin mengukuh berbanding euro. Malahan, permintaan ke atas barangan China akan lebih terjejas lagi apabila banyak negara Eropah bercadang untuk memotong bajet mereka.
Pemotongan bajet seperti manfaat untuk golongan tidak bekerja dan pengurangan bajet pendidikan menggambarkan negara-negara Eropah sedang berusaha mengurangkan perbelanjaan mereka. Perkara ini cukup menarik perhatian masyarakat dunia kerana sejak Perang Dunia Kedua, negara-negara Eropah mengamalkan dasar ekonomi negara berkebajikan. Langkah ini akan menyebabkan permintaan terhadap barangan negara-negara lain juga akan berkurangan dan seterusnya menjejaskan perdagangan dunia.
Meskipun AS mengatakan kesan krisis ini adalah minimum tetapi ramai pakar ekonomi mengatakan kesannya sukar diramal. Impaknya akan menjadi lebih parah jika krisis ini merebak ke negara-negara lain. Perdebatan di antara kuasa ekonomi terbesar dan ketiga terbesar di dunia mengenai mata wang ini menggambarkan kelemahan penggunaan mata wang kertas. Masing-masing ingin menjaga kepentingan negara mereka sahaja. Meskipun, China mengatakan ia bertujuan menstabilkan ekonomi, namun faktor utamanya adalah untuk memastikan permintaan ke atas barangan mereka tidak terjejas.
Kadar mata wang dunia yang tidak menentu, sering berubah-berubah dan dijadikan barangan dagangan menyebabkan penyelewengan mudah berlaku, seterusnya menjejaskan kestabilan ekonomi dunia.
Satu-satunya cara untuk menangani ketidakstabilan ekonomi dunia ini adalah dengan menggunakan emas sebagai mata wang dunia atau lebih dikenali sebagai dinar emas. Kelebihannya memang telah diakui kerana mempunyai nilainya yang sebenar dan telap inflasi berbanding rejim mata wang sekarang.
Paling utama, mata wang dunia akan mempunyai satu nilai yang stabil dan tetap untuk digunakan di mana-mana sahaja. Persaingan ekonomi di antara negara juga akan lebih adil berdasarkan faktor kualiti barangan dan perkhidmatan serta produktiviti pekerja. Namun, bukannya mudah untuk mengajak seluruh negara di dunia menggunakan mata wang emas terutamanya kuasa-kuasa besar ekonomi dunia yang akan sentiasa mempertahankan status quo mereka. Penggunaan mata wang emas akan menyebabkan mereka tidak mempunyai kelebihan tersendiri seperti kuasa beli mereka yang tinggi berbanding negara-negara lain.
Meskipun begitu, diharapkan skandal terbaru melibatkan syarikat pencetak mata wang di Australia menjadi iktibar kepada mereka dan negara-negara lain mengenai kepentingan penggunaan emas sebagai mata wang utama dunia. Hanya dengan cara ini ekonomi dunia akan lebih baik, stabil dan selamat berbanding rejim mata wang kertas yang digunakan pada masa sekarang.
Penulis ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Kolej Perniagaan (COB) Universiti Utara Malaysia
Dari utusan Malaysia.
0 comments:
Post a Comment